KOTA BHARU: Semasa krisis Angkatan Perpaduan pada 1996 sehingga membawa pembubaran Semangat 46, Pondok Pasir Tumbuh menjadi tempat meredakan ketegangan yang berlaku.
Ketika itu ulama dan guru-guru pondok dari seluruh Kelantan berhimpun mendengar penjelasan disampaikan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Kini hampir 20 tahun berlalu sekali lagi perhimpunan ulama dan guru-guru pondok diadakan di tempat sama bagi mendengar penjelasan masalah dalaman membabitkan PAS.
Ribuan ulama dan pelajar-pelajar pondok menyertai perhimpunan malam tadi. Program itu bermula jam 6 petang dengan jamuan rakyat.
Solat Maghrib dan solat hajat diimamkan pensyarah Pusat Pusat Pondok Kandis, Ustaz Nik Razi Nik Mat. Selepas itu kuliah Maghrib juga disampaikan Nik Razi yang juga adik kepada Arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz.
Imam Masjid Pondok Pasir Tumbuh, Ustaz Nik Zulkifli Nik Yaakub berkata kegusaran ulama dan guru-guru pondok ekoran krisis yang berlaku pada 1996 kembali reda selepas mendapat penjelasan daripada pemimpin tertinggi PAS.
Katanya, kali ini ketika masalah dalaman PAS berulang kembali, sekali lagi Presiden PAS diundang bagi menjelaskan situasi yang berlaku dalam parti itu.
“Malam ini cukup bersejarah bagi ulama dan guru-guru pondok yang terdapat di Kelantan. Kami tetap memberi sokongan padu kepada kepimpinan ulama.
“Kita tidak pelik dengan parti baru serpihan PAS yang dilancar di hotel nampak seperti mewah, namun ulama dan guru-guru pondok meneruskan dukungan bagi menguatkan PAS,” katanya pada program berkenaan.
Menurutnya juga bekas-bekas pelajar Pondok Pasir Tumbuh yang kini bertebaran di seluruh negara begitu gembira dengan sokongan padu dizahirkan ulama pondok terhadap kepimpinan PAS dan kerajaan negeri yang ada sekarang. - HARAKAHDAILY 17/10/2015
0 Response to "Isu dalaman: Ulama ikuti penjelasan Presiden PAS"
Post a Comment