SERAM!! Misteri Disebalik Penunggu Gua Peraling Dimana Lokasi Kanak-Kanak Malang Orang Asli Ini Hilang Dipercayai Disorok Bunian Akhirnya Dirungkai..

$%TRAGEDI kehilangan tujuh kanak-kanak Orang Asli suku Temiar di perkampungan Orang Asli Pos Tohoi Gua Musang, Kelantan pada Ogos lalu mencatatkan satu sejarah negara tahun ini.

Mereka merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi dilaporkan hilang di dalam hutan ditemui selepas sebulan setengah.

Penemuan pada hari ke-48 menemukan empat daripada mereka iaitu Sasa Sobrie, 8, Ika Ayel, 9, Juvina David, 7 dan Linda Rosli, 8, cukup menyayat hati. Keempat-empat pelajar tersebut meninggal dunia dengan ada antaranya hanya tinggal rangka.

Hanya dua pelajar, Mirsudiar Aluj; 11, dan Norieen Yaakob; 10, ditemui masih hidup oleh pasukan penyelamat ketika bersembunyi di celah-celah akar pokok di tebing Sungai Perias, kira-kira 3.3 kilometer dari SK Tohoi.

Apa yang menyentuh perasaan, ketika ditemui, kedua-duanya sudah nyawa-nyawa ikan kerana kebuluran. Tubuh masing-masing bukan saja bertukar menjadi kurus kering bahkan mereka mengalami malnutrisi yang sangat dahsyat.

Namun, satu-satunya mangsa lelaki, Haikal Yaakob, 8, masih gagal ditemui sehingga hari ini. Menurut kakak Haikal, Norieen, adiknya merupakan individu pertama yang meninggal selepas lemas dihanyutkan arus deras sungai berkenaan pada hari ke-14 mereka hilang di hutan.

Kisah kehilangan tujuh murid Orang Asli itu sememangnya menjadi bualan hangat anggota masyarakat di seluruh negara, malah ia turut menjadi tajuk perbualan di kedai-kedai kopi. Kejadian itu bukan sahaja dianggap antara tragedi terbesar menimpa kanak-kanak Orang Asli, tetapi turut membabitkan unsur misteri.

Usaha pihak berwajib yang dibantu anjing penyelamat gagal menjejaki kesan yang mereka tinggalkan. Peluang berada di perkampungan Pos Tohoi pada pertengahan Oktober memberi penulis peluang menyingkap kisah sebenar di sebalik kejadian itu.

Menurut seorang kanak-kanak Orang Asli Pos Tohoi, Esya Kresya Ghani, 11, Mirsudiar merupakan rakan baiknya kerana mereka sama usia. Di sekolah berkenaan, hanya enam buah kelas dibuka. Murid-murid diasingkan mengikut peringkat umur iaitu dari tujuh hingga 12 tahun.

“Mirsudiar memang baik, dia dan enam mangsa lain tidak mandi sungai sehari sebelum kejadian. Yang mandi di sungai adalah murid lain.

“Mungkin sebab takut dituduh mandi, dia lari dari sekolah untuk pulang ke kampung,” katanya ringkas sambil memberitahu kejadian murid keluar dari kawasan sekolah untuk pulang ke kampung halaman masing-masing adalah perkara biasa walaupun pada hari persekolahan.

Malah dakwanya, Mirsudiar pulang ke kampung sebelum ini sehingga mendorongnya bersama enam rakan yang lain mengulangi perkara yang sama kerana sudah terbiasa.

Sementara itu rakannya, Suli Alek, 10, memberitahu, kebiasaannya, jika ada murid melakukan kesalahan, mereka akan didenda pada waktu perhimpunan sekolah. Mereka akan dikenakan tindakan sama ada berdiri di tengah panas atau dirotan.

Tindakan

Anggota penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat beberapa orang murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan Tohoi yang masih sesat di sekitar Sungai Perias berhampiran Pos Tohoi.

Justeru, tindakan tujuh kanak-kanak berkenaan melarikan diri dari sekolah kerana bimbang didenda mungkin menjadi antara penyebab utama tragedi itu berlaku. Malah, sebahagian daripada tujuh kanak-kanak itu mungkin juga pernah melalui pengalaman sama sehingga menyebabkan mereka cuba mengelak daripada dikenakan tindakan serupa.

Berdasarkan cerita Ketua Kampung yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JKKKOA) Pos Tohoi, Zainal Chali, 44, pula, kesemua tujuh kanak-kanak itu hilang di hutan sejak 23 Ogos lalu bukan kerana sesat, tetapi akibat perasaan takut atau bimbang dirotan oleh guru ekoran tindakan mereka keluar dari kawasan sekolah.
Jelasnya, walaupun tidak mandi di sungai pada sehari sebelum itu, tetapi mereka termasuk dalam kumpulan 25 murid sekolah berkenaan yang dikatakan telah melanggar peraturan sekolah kerana berada di sungai berkenaan tanpa kebenaran guru.
“Pada hari pertama kehilangan mereka, saya merupakan antara orang pertama bersama pihak sekolah dan penduduk kampung mencari mereka di sekitar kawasan hutan berhampiran sekolah dan di sepanjang laluan balak menuju ke Kampung Gawin serta Kampung Penad yang merupakan kampung asal kesemua mangsa.
“Malah sepanjang tempoh 24 jam kehilangan mereka, kami terpaksa berulang-alik dari ke kedua-dua kampung tersebut yang terletak kira-kira 40 hingga 45 kilometer dari Pos Tohoi sebelum satu laporan polis dibuat di Gua Musang,” katanya.
Gua

Mirsudiar (kiri) dan Norieen, murid perempuan Sekolah Kebangsaan Tohoi yang hilang selama 48 hari ditemui dalam keadaan selamat tapi lemah di Sungai Emas, Gua Musang.

Mengulas tentang Gua Peraling yang terletak kira-kira 500 meter dari SK Tohoi yang dipercayai berpenunggu dan dikaitkan dengan kehilangan kanak-kanak itu seperti yang disebarkan oleh banyak pihak pada peringkat awal kejadian itu berlaku, Zainal ada versi lain yang diceritakan kepada penulis.
“Memang tiada penunggu. Tidak pernah berlaku kejadian orang hilang di situ. Cerita yang tersebar sebelum ini tidak benar,” tegasnya yang merupakan penduduk asal kampung berkenaan.
Ketika penulis meninjau kawasan gua berkenaan yang terletak kira-kira 200 meter di belakang rumah seorang penduduk kampung, tiada sebarang lubang di gua tersebut seperti yang biasa dilihat di gua-gua lain. Cuma, struktur dinding batu kapur berkenaan sedikit condong dan menjadi pelindung daripada hujan dan panas terik.
Malah, lantai di tebing gua berkenaan juga dilitupi tanah dan sedikit berpasir dengan kesan tapak kaki kanak-kanak yang dipercayai menjadi kawasan permainan kanak-kanak Orang Asli di situ setiap hari. Selain itu, terdapat satu lubang besar yang dikatakan kesan tapak arkeologi yang menempatkan rangka manusia purba.
Zainal yang juga bertugas sebagai Ketua Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi perkampungan Orang Asli di situ berkata, dia percaya kehilangan kesemua mangsa bukan disebabkan tersesat di dalam hutan, atau berada di alam ghaib, tetapi mereka melarikan diri setiap kali melihat kelibat pasukan penyelamat semasa operasi berkenaan.
“Kalau orang sesat di dalam hutan, sudah pasti orang itu akan sedaya upaya untuk mendapatkan bantuan dan menonjolkan diri jika ternampak orang lain.
“Tetapi dalam kes ini, tujuh kanak-kanak itu melarikan diri. Oleh itu, sepanjang fasa pertama berada di hutan, mereka akan bersembunyi bagi mengelak dikesan pasukan penyelamat.
“Mungkin kerana pada ketika itu, mereka masih dibayangi perasaan takut didenda oleh guru akibat tindakan melarikan diri dari sekolah,” katanya tidak menolak kawasan hutan di kampung berkenaan mungkin turut menjadi tempat tinggal makhluk halus lain selain manusia.

Ceritanya lagi, mungkin pada dua minggu pertama kejadian, kanak-kanak tersebut pernah terfikir untuk pulang semua ke sekolah dan menyerah, tetapi disebabkan sudah tidak bertenaga untuk berjalan di dalam hutan, mereka hilang punca dan gagal mencari jalan pulang.
Tambahnya, perasaan takut semakin menebal selepas tiga rakan mereka meninggal dunia akibat dihanyutkan arus sungai pada hari ke-14 kejadian menyebabkan mereka bertindak untuk terus bersembunyi di bawah akar pokok iaitu lokasi Mirsudiar dan Norieen ditemui selamat pada hari ke-48. Sehingga semalam, mangsa terakhir, Haikal masih gagal ditemui.

0 Response to "SERAM!! Misteri Disebalik Penunggu Gua Peraling Dimana Lokasi Kanak-Kanak Malang Orang Asli Ini Hilang Dipercayai Disorok Bunian Akhirnya Dirungkai.."

Post a Comment