“Saya Curi Sardin Untuk Cucu Yang Masih Kecil”
“Saya menumpang di rumah pakcik berusia 70 tahun. Saya curi enam tin sardin untuk cucu-cucu pakcik saya yang masih kecil. Saya juga perlu menanggung ibu bapa,” kata penganggur Chng (ulang: Chng) Kim Fatt, 45, ketika merayu bagi mengurangkan hukuman, di Mahkamah Majistret di sini semalam.
Dia dihukum penjara tujuh hari dan denda RM100 oleh mahkamah itu kerana mencuri sardin tersebut.
Majistret Saifulakmal Said berkata, “Mahkamah menjatuhkan hukuman ini berdasarkan kesalahan lampau dan ini bukan kesalahan jenayah pertama kamu.”
Tertuduh mempunyai 11 rekod kesalahan lampau termasuk mencuri kenderaan, dadah dan mendatangkan kecederaan.
Mahkamah memerintahkan Chng dipenjara seminggu jika gagal membayar denda.
Mahkamah memerintahkan Chng dipenjara seminggu jika gagal membayar denda.
Chng didakwa mencuri enam tin sardin kesemuanya bernilai RM33.30 di Kedai 99 Speed Mart Sdn. Bhd, Jalan Jinjang Utama, Sentul, jam 8 malam, 30 Jan lalu.
Chng turut dipenjara tujuh hari kerana gagal menunjukkan kad pengenalan diri atau sebarang dokumen pengenalan sementara di lokasi dan tarikh sama.
Dia didakwa mengikut Peraturan 7(1) dan boleh dihukum di bawah Peraturan 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM20,000.
Mahkamah memerintahkan tertuduh yang tidak diwakili peguam menjalani kedua-dua hukuman itu bermula dari tarikh tangkap 30 Jan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry mengendali pendakwaan. — Bernama
0 Response to "“Saya Curi Sardin Untuk Cucu Yang Masih Kecil”"
Post a Comment