Fara Fauzana Mahu Dekatkan Diri Dengan Tuhan, Beri Ruang Pada Diri Sendiri

Fara Fauzana Mahu Dekatkan Diri Dengan Tuhan, Beri Ruang Pada Diri Sendiri



Penyampai radio HotFM Fara Fauzana yang akan mengakhiri kerjayanya di radio HotFM pada 26 Februari ini memberitahu pengundurannya itu adalah untuk memberi ruang kepada dirinya.
“Selama 10 tahun saya mula-mula bersama keluarga HotFM banyak pengalaman dan ilmu yang saya dapat melalui kerjaya sebagai penyampai radio. Saya berhenti bukannya hendak berpindah ke stesen radio lain tetapi memberi ruang pada diri saya untuk mendekatkan diri pada Allah,” katanya yang ditemui di Majlis Sidang Media Pengumuman Pengunduran 4 Penyampainya.
Tambahnya lagi, kekangan masa yang begitu padat antara faktor yang membuatkan dia membuat keputusan meninggalkan kerjaya itu.
“Contohnya kalau saya nak ke usrah kadang-kadang tak dapat nak hadir sebab dijalankan pada waktu pagi ketika saya bertugas. Selain itu, masa untuk saya memberi perhatian kepada kerja-kerja kebajikan juga terhad. Bila sudah berhenti inilah masanya untuk saya memenuhi tuntutan tersebut,” kata selebriti berusia 36 tahun ini.
Sebelum ini ada juga ura-ura mengatakan hos Muzik-Muzik ini berhenti disebabkan ingin menamatkan zaman solonya.
“Berita tersebut adalah tidak benar, segala gosip saya berkaitan juruterbang dari Johor itu adalah khabar angin semata-mata. Perancangan untuk saya berhenti telah lama dilakukan sejak 2015 lagi dan ia tiada kaitan dengan gosip tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Fara masih lagi menjadi hos kepada rancangan Muzik Muzik di TV3 dan katanya selepas akan menumpukan karier pengacaraan dan lakonan.
“Apa pun saya berharap mereka di luar sana mendoakan yang terbaik untuk saya,” katanya mengakhiri perbualan. (rtky/h)

0 Response to "Fara Fauzana Mahu Dekatkan Diri Dengan Tuhan, Beri Ruang Pada Diri Sendiri"

Post a Comment