Hukum Lelaki Pakai Seluar Ketat

Soalan: Apa hukumnya lelaki memakai seluar ketat khususnya jeans?

Jawapan:

Aurat wanita adalah seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan sehingga pergelangan tangan . Ketika menutup aurat wanita perlu memenuhi syata-syaar berikut :

1. pakaian tak ketat sehingga menampakkan bentuk tubuhnya.

2. pakaian tak nipis sehingga menampakkan warna kulit. atau nampak bayang-bayang kulit wanita tersebut.

3. tudung kena labuh sehingga menutup keseluruhan dadanya. Jika wanita nak pakai seluar tak boleh pakai seluar jean yang ketat nampak bentuk betis dan pehanya, jika seluar labuh dan longgar di haruskan dengan syarat baju yang di pakai labuh sehingga lutut atau bawah lutut.

4. Warna baju dan tudung jangan terlalu terang hingga mengambil perhatian lelaki yang bukan mahram yang melihatnya.

Bagaimana pula aurat lelaki yang telah baligh?






Jumhur ulama menyatakan bahawa aurat lelaki adalah pusat hingga kelutut. Ada pun kaum lelaki memakai seluar ketat maka hukumnya adalah makruh tetapi jika menampakkan bentuk alat sulitnya maka tidak sunyi hukumnya menjadi haram, wallahua’lam.

Adakah sah solat lelaki yang memakai seluar ketat seperti seluar jean?

Sah solat dengan memakai seluar jean seperti yang dinyatakan di dalam soalan.

Seperti yang diketahui salah satu daripada syarat sah solat ialah menutup aurat. Ini bermakna selama-mana aurat tertutup maka orang tersebut boleh menunaikan solat dalam keadaan tersebut, sekalipun pakaiannya sempit dan membentuk rupa aurat. Inilah yang dinyatakan dengan jelas oleh para ulama dari mazhab-mazhab fiqh yang berbagai, kami datangkan sebahagian perkataan para ulama tersebut di bawah ini, antaranya:

MAZHAB HANAFI

Dinyatakan di dalam kitab al-Durr al-Mukhtar dari Mazhab Hanafi:

ولا يضر التصاقه وتشكله

Maksudnya: “Tidak mengapa (pakaian yang dipakai di dalam solat) melekat dengan aurat dan membentuk rupa bentuk aurat.” (al-Durr al-Mukhtar 2/84)

Ibn ‘Abidin di dalam Hasyiahnya kepada al-Durr al-Mukhtar berkata:

قوله : ولا يضر التصاقه أي : بالألية مثلا ، وعبارة شرح المنية : أما لو كان غليظا لا يرى منه لون البشرة إلا أنه التصق بالعضو وتشكل بشكله فصار شكل العضو مرئيا ، فينبغي أن لا يمنع جواز الصلاة ، لحصول الستر

Maksudnya: “Perkataan ولا يضر التصاقه (tidak mengapa melekatnya) iaitulah melekat dengan daging punggung sebagai contoh, dan perkataan di dalam Syarh al-Munyah yang menyatakan: Adapun jika pakaian itu tebal, tidak dapat dilihat darinya warna kulit, melainkan ia melekat dengan anggota badan dan membentuk dengan bentuk anggota tersebut, lalu jadilah bentuk itu dapat dilihat, maka sepatutnya tidak menjadi penghalang harusnya solat kerana telah terlaksana tutupan aurat.” (Radd al-Muhtar ‘ala al-Durr al-Mukhtar oleh Muhammad Amin bin ‘Umar yang lebih dikenali dengan Ibn ‘Abidin)

MAZHAB MALIKI

Di dalam kitab al-Fawakih al-Duwani dari Mazhab Maliki dinyatakan:

ويجزئ الرجل الصَّلاة في الثوب الواحد ويشترط فيه على جهة الندب كونه كثيفا بحيث لا يصف ولا يشفّ ، وإلا كره وكونه ساترا لجميع جسده . فإن ستر العورة المغلظة فقط أو كان مما يصف أي يحدد العورة . . . كرهت الصلاة فيه مع الإعادة في الوقت

Maksudnya: “Memadai seseorang lelaki solat dengan sehelai baju, dan disyaratkan pada baju tersebut secara sunat agar dia tebal dalam bentuk tidak mensifatkan (anggota) dan tidak nipis, jika tidak ia dikira makruh, baju itu juga hendaklah menutup keseluruhan tubuhnya. Jika ia telah menutup aurat yang besar sahaja, namun mensifatkan bentuk aurat, dikira makruh solat dengan pakaian tersebut beserta diulangi solat itu jika masih berwaktu.” (al-Fawakih al-Duwani 1/216)

Di dalam Hasyiah al-Dusuqi pula dinyatakan:

أن الصلاة في الثوب الواصف للعورة المحدد لها صحيحة ، ولكنها مكروهة كراهة تنزيهية ، ويستحب له أن يعيد إذا كان الوقت باقياً

Maksudnya: “Solat dengan baju yang mensifatkan bentuk aurat adalah sah, akan tetapi hukumnya makruh, makruh tanzih dan disunatkan mengulangi solat tersebut jika waktu masih berbaki.”

MAZHAB AL-SYAFIE

Al-Imam al-Nawawi berkata di dalam al-Majmu’:

فلو ستر اللون ووصف حجم البشرة كالركبة والألية ونحوها صحت الصلاة فيه لوجود الستر ، وحكي الدارمي وصاحب البيان وجهاً أنه لا يصح إذا وصف الحجم ، وهو غلط ظاهر

Maksudnya: “dan jika ia (pakaian itu) menutup warna dan mensifatkan bentuk seperti lutut dan daging punggug dan seumpamanya, sah solat tersebut kerana telah berlaku penutupan. Al-Darimi dan Sahib al-Bayan menyatakan satu wajah, bahawa ianya tidak sah jika mensifatkan (menampakkan) bentuk, pernyataan ini adalah satu kekeliruan yang jelas.” (al-Majmu’ 3/176)

MAZHAB HAMBALI

Ibn Qudamah berkata di dalam al-Mughniy:

وإن كان يستر لونها ويصف الخِلْقَة جازت الصلاة ، لأن هذا لا يمكن التحرز منه

Maksudnya: “Dan sekiranya menutup warna aurat dan mensifatkan bentuk, harus solat (dengan pakaian tersebut), kerana perkara seperti ini tidak mungkit dapat dielak.” (al-Mughniy: 2/287)

PERHATIAN!

Inilah jawapan bagi soalan SAH ataupun TIDAK solat dengan pakaian yang sempit. Namun perlu diberi penekanan di sini bahawa kami sama sekali tidak menyeru dan mengajak orang ramai untuk memakai pakaian yang sempit. Bahkan kami ingin nyatakan di sini bahawa hindarilah diri dari memakai pakaian sempit dalam semua keadaan termasuk di dalam solat. Hal ini kerana pakaian sempit itu menafikan sikap berhias diri untuk solat yang anjurkan di dalam al-Quran. Kerana itu Fadhilah al-Syeikh Soleh al-Fauzan ada menyatakan fatwa Sahnya solat seseorang wanita dengan pakaian yang sempit, dalam masa yang sama dia dikira berdosa kerana memakai pakaian seperti itu, beliau menyebut:

الثياب الضيقة التي تصف أعضاء الجسم وتصف جسم المرأة وعجيزتها وتقاطيع أعضائها لا يجوز لبسها ، والثياب الضيقة لا يجوز لبسها للرجال ولا للنساء ، ولكن النساء أشدّ ؛ لأن الفتنة بهن أشدّ . أما الصلاة في حد ذاتها ؛ إذا صلى الإنسان وعورته مستورة بهذا اللباس ؛ فصلاته في حد ذاتها صحيحة ؛ لوجود ستر العورة ، لكن يأثم من صلى بلباس ضيق ؛ لأنه قد يخل بشيء من شرائع الصلاة لضيق اللباس ، هذا من ناحية ، ومن ناحية ثانية : يكون مدعاة للافتتان وصرف الأنظار إليه ، ولا سيما المرأة ، فيجب عليها أن تستتر بثوب وافٍ واسعٍ ؛ يسترها ، ولا يصف شيئًا من أعضاء جسمها ، ولا يلفت الأنظار إليها ، ولا يكون ثوبًا خفيفًا أو شفافًا ، وإنما يكون ثوبًا ساترًا يستر المرأة سترًا كاملاً

Maksudnya: “Baju sempit yang mensifatkan anggota badan dan mensifatkan tubuh wanita dan potongan-potongan anggotanya tidak wajar dikenakan, baju sempit seperti ini tidak wajar dipakai bagi lelaki mahupun wanita, akan tetapi wanita itu lebih bersangatan tidak wajar, kerana dengan mereka lebih bersangatan mendatangkan fitnah. Adapun solat, jika auratnya tertutup dengan pakaian tersebut, maka solatnya sah, kerana telah berlaku penutupan aurat, akan tetapi dikira berdosa sesiapa yang solat dengan memakai pakaian yang sempit, kerana dia telah mengurangkan sesuatu disebabkan sempit bajunya, ini dari satu sudut. Adapun dari sudut yang kedua: ia menjadi punca berlakunya fitnah, dan memalingkan pandangan orang ramai kepadanya, terutamanya wanita. Maka wajib seseorang wanita mengenekan baju yang memadai dan luas yang dapat menutup tubuhnya dan tidak mensifatkan sesuatupun dari anggota tubuhnya dan tidak memalingkan penglihatan kepadanya, jangan menggunakan baju yang nipis, sebaliknya hendaklah baju yang menutup dengan sempurna.” (al-Muntaqa Min Fatwa al-Syeikh Soleh al-Fauzan 3/454)

Wallahu a’lam.

(Jawapan ini di ambil daripada tulisan Mufti Perlis – Dr. Juanda bin Jaya).

0 Response to "Hukum Lelaki Pakai Seluar Ketat"

Post a Comment