Apabila disebut sahaja anjing, maka bermacam-macam persepsi akan timbul. Ada yang jijik melihat anjing, ada pula yang begitu mesra dengan anjing, dan ada pula orang yang apabila marah akan menggunakan perkataan ‘anjing’ sebagai salah satu kata-kata nista dan keji yang dihamburkan. Bagi masyarakat Melayu Islam pula, anjing merupakan binatang yang paling tidak digemari dan mereka akan sedaya upaya menjauhkan diri daripada binatang tersebut. Lantaran itu boleh dikatakan masyarakat Melayu ‘tidak berani’ mendekati anjing, apa lagi menyentuhnya.
Sebenarnya, anjing sebagai binatang yang dianggap najis, termaktub di dalam hadis yang sahih. Justeru, menurut jumhur fuqahak, anjing membawa najis mughallazah. Ia berdasarkan perintah Rasulullah agar membasuh bekas yang dijilat anjing sebanyak tujuh kali dimulakan dengan air yang dicampur tanah.
Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya: “Sucinya bejana (bekas) salah seorang daripada kamu yang dijilati anjing adalah dengan dibasuh bejana itu tujuh kali dengan air dan pada basuhan pertama dicampur dengan tanah.” (Hadis Riwayat. Muslim, Abu Daud dan Ahmad).
Mungkin timbul persoalan mengapa Rasulullah menyuruh umatnya menggunakan tanah untuk menyuci bekas yang dijilat anjing? Hikmah yang sebenarnya, hanya Allah sahaja Maha Mengetahui. Namun, ada pendapat yang mengatakan bahawa dalam air liur anjing ada bakteria yang hanya dapat dimatikan oleh tanah yang dicampur air.
Walaupun Rasulullah mengarahkan agar membasuh bekas jilatan anjing sebanyak tujuh kali, namun ini tidak bermakna Islam menganggap anjing sebagai makhluk hina yang wajib dibenci dan dijauhi. Ini kerana Islam mengajar kita supaya mempunyai sifat rahmat di antara sesama makhluk, termasuk kepada binatang.
Walau apa pun persepsi manusia terhadap anjing, ia merupakan salah satu daripada makhluk yang diciptakan Allah di atas muka bumi ini. Sekiranya seseorang itu melakukan kebaikan pada mana-mana makhluk Allah, maka sudah tentu akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah.
Walaubagaimanapun, Islam telah menetapkan beberapa peraturan berkaitan dengan anjing ini, apatah lagi apabila ia termasuk dalam najis mughallazah. Contohnya ialah masalah memelihara anjing, adakah ia dibenarkan oleh syara’ atau tidak? Oleh itu, hendaklah dilihat maksud pemeliharaan itu sama ada untuk menjaga kemaslahatan manusia atau tidak. Jika ya, maka hukumnya boleh, dan apabila tidak, maka hukumnya haram.
Menurut Prof Dr Yusof al-Qaradhawi dalam bukunya Halal wa Haram fi al-Islam, termasuk yang dilarang oleh Nabi ialah memelihara anjing di dalam rumah tanpa ada sesuatu keperluan. Nabi bersabda: “Barangsiapa memelihara anjing tidak untuk keperluan berburu atau penjagaan, maka pahalanya akan berkurang sebanyak satu qiroth bagi setiap hari” (Muttafaq ‘Alaih)
Pemeliharaan anjing tanpa sebarang keperluan dilarang kerana malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang terdapat di dalamnya anjing. Sabda nabi: “Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada di dalamnya anjing dan gambar” (Muttafaq ‘alaih). Daripada Ibn Umar r.a.meriwayatkan bahawa malaikat Jibril as berjanji akan datang menemui Rasulullah s.a.w. Setelah sekian lama menanti, Jibril as tidak juga muncul.
Lalu Rasulullah saw pun keluar, dan baginda menemui Jibril di luar. Rasulullah mengadu akan kelewatan tibanya. Jibril menjelaskan dengan berkata: “Sesungguhnya kami tidak memasuki rumah yang ada anjing dan gambar” (Hadis riwayat al-Bukhari). Abu Hurairah r.a mengatakan bahwa Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya : “Malaikat tidak akan menemani kelompok manusia yang di tengah-tengah mereka terdapat anjing”. (Hadis Riwayat Muslim).
Sehubungan dengan itu, dapat dinyatakan bahawa memelihara anjing hanya dibenarkan apabila wujud keperluan untuk menjaga maslahah manusia. Namun begitu, sekiranya tidak didasarkan kepada apa-apa keperluan, maka pemeliharaan anjing adalah haram dan dilarang. Ini berikutan ‘najis mughallazah’ yang terdapat pada anjing tersebut dan kesan pemeliharaan tersebut menyebabkan malaikat Rahmat tidak memasuki rumah penghuninya.
0 Response to "Binatang yang dianggap najis"
Post a Comment