“Cikgu, Mak Tiri dan Ayah Saya dah Bercerai” — Kisah ini Dikongsi lebih 50,000 Pengguna Facebook

'Cikgu, Mak Tiri & Ayah Saya Dah Bercerai'



Melihat dia melangkah masuk ke pagar asrama itu membuat aku berasa lega. Sekurang-kurangnya makan minumnya terjaga. Minggu lepas, ketika waktu NILAM di perpustakaan sekolah, dia datang dan duduk di sebelahku.

"Cikgu, mak tiri dan ayah saya dah bercerai", katanya dengan wajah yang begitu ceria dan tersenyum.

"Awak happy?", tanyaku. Dia mengangguk laju, senyum.

"Oklah pergi buat NILAM dulu ya?", aku mengeluarkan arahan.

"Ok cikgu"...senyumnya sampai ke telinga!

Usai waktu NILAM, dia berjalan seiringku.

"Cikgu, saya dah boleh masuk asramalah, dulu mak tiri tak bagi, sekarang dia dah takde".

"Ok. Nanti awak pergi minta borang asrama dengan Cik Mie (penyelia asrama) di pejabat dia ya?", pintaku.

"Ok cikgu", dia jawab ringkas.

"Habis tu sekarang tinggal dengan siapa?", tanyaku

"Sorang-sorang", dia menjawab sambil senyum. Aku berhenti berjalan dan memandang mukanya.

"Siapa sediakan makanan? Siapa kejut pergi sekolah? Siapa jaga kalau sakit??" Berjujuk-jujuk soalan dariku.

"Sendiri", jawabnya lagi.

Allahu.. Mataku berkaca.

"Cikgu, saya masuk kelas dulu tau, nanti lambat cikgu marah" katanya. 

Aku mengangguk perlahan.

Anak ini namanya Aanas (bukan nama sebenar), 14 tahun. Fizikalnya kecil, memudahkan si tangan celaka itu menderanya. Pergerakannya terbatas. Saat anak sebayanya bermain di waktu petang, dia terkurung di rumah melakukan pelbagai kerja rumah. 

Pernah "dibahan" gara-gara pulang lewat dari sekolah kerana aktiviti ko-ko. Solat Jumaat juga dihalang pergi. Pernah dia dicekik separuh mati, dipukul, tampar, lempang itu sudah makanan hariannya.

Ternyata "Bawang Putih Bawang Merah" itu bukan sekadar dongengan kan.

Aku kenal Aanas sejak tahun lepas, sewaktu mengajarnya subjek Sejarah. Ibu kandung dan ayah kandung bercerai. Adik beradik satu ibu satu ayah ada empat, dua bersama ibu dan dua bersama ayah. Sejak ayahnya berkahwin dengan ibu tiri, hidup anak ini penuh dengan siksaan.

Jarang-jarang Aanas makan ketika waktu rehat. Dia tidak diberi belanja oleh ibu tirinya. Jika aku terserempak dengannya, aku akan hulur duit kepadanya. Itu pun beberapa kali ditolak olehnya, dia segan barangkali.

Tidak ramai yang tahu kisah anak ini di sekolah. Perwatakan yang ceria menyembunyikan derita hidupnya. Entah kenapa dia sering bercerita kepadaku tentang kisahnya walaupun aku tidak bertanya. Hampir setiap kali kelas Bahasa Melayu (tiga kali seminggu) ada sahaja cerita tentang hidupnya.

Anak ini sangat baik. Meski kurang dari segi akademik, dia tetap menghormati guru. Rajin membantu guru-guru walaupun guru yang tidak mengajarnya. Ayahnya? Jarang-jarang pulang ke rumah lantaran kesibukan mencari nafkah buat dia enam beradik.

"Cikgu, saya dah boleh masuk asrama Isnin depan, semalam Cik Mie bagitahu", Aanas membuka bicara sewaktu kelas KOMSAS.

0 Response to "“Cikgu, Mak Tiri dan Ayah Saya dah Bercerai” — Kisah ini Dikongsi lebih 50,000 Pengguna Facebook"

Post a Comment