Universiti Di China Haramkan ‘Couple’ Makan Bersuap!
Sebuah universiti di daerah Jilin, China menguatkuasakan pengharaman makan bersuap bagi pasangan kekasih di kafeteria kampus pusat pengajian itu.
Memetik laporan sebuah portal antarabangsa, peraturan itu dilaksanakan selepas pihak pengurusan tidak dapat mengawal tingkah laku kurang sopan pelajarnya.
Ramai pelajar universiti tersebut terkejut dengan larangan yang dikenakan, dan ada yang geli hati dengan salah satu peraturan yang dikatakan tidak masuk akal itu.
Peraturan baharu yang dikenakan termasuklah larangan berpegangan tangan dan berpelukan di kafeteria universiti.
Bagaimanapun larangan makan bersuap adalah peraturan yang paling menarik perhatian dan dianggap lucu oleh para pelajar.
Seorang pelajar kampus memberitahu pemberita bahawa dia tidak pernah melihat mana-mana pasangan makan bersuap di kafeteria universiti berkenaan.
“Saya boleh terima peraturan-peraturan ini dan saya tidak akan buat kesilapan seperti ini.
“Dan juga… Saya tidak mempunyai teman lelaki,” katanya berseloroh.
Seorang pekerja kafeteria ketika ditemui pemberita mengesahkan dakwaan pelajar terbabit.
Menurutnya, dia tidak pernah melihat sebarang adegan suap-menyuap antara pasangan pelajar sejak berkhidmat di kafeteria di universiti berkenaan.
Dalam pada itu, seorang guru berkata, peraturan baharu itu dikenakan hanya sebagai langkah pencegahan yang dilaksanakan di universiti itu.
0 Response to "Universiti Di China Haramkan ‘Couple’ Makan Bersuap!"
Post a Comment