Tidak lucah, ‘Pantai Kasih’ boleh diajar di sekolah

Tidak lucah, ‘Pantai Kasih’ boleh diajar di sekolah

Foto menunjukkan bahagian yang didakwa berunsur lucah dalam novel 'Pantai Kasih' yang digunakan sebagai teks komponen sastera Tingkatan Empat. — Foto ehsan Twitter/Yusriiii


PUTRAJAYA, 12 Feb — Novel Pantai Kasih akan terus digunakan sebagai komponen sastera (komsas) dalam pengajaran dan pembelajaran pelajar Tingkatan Empat di Melaka, Pahang, Kelantan dan Terengganu.
Timbalan ketua pengarah pendidikan (dasar) Kementerian Pendidikan Datuk Seri Khairil Awang berkata perkara itu diputuskan sebulat suara dalam mesyuarat profesional Kementerian Pendidikan pada 28 Januari lepas.
Beliau berkata kementerian telah mengadakan beberapa siri perjumpaan dan perbincangan dengan pensyarah, guru cemerlang, panel penilai, penggiat bahasa  dan kesusasteraan berhubung novel karya Azmah Nordin itu.
“Perbincangan memutuskan novel Pantai Kasih mempunyai elemen dari aspek keindahan bahasa, kosa kata dan tata bahasa. Novel ini turut dapat merangsang murid berfikir secara matang dan rasional dalam membuat justifikasi,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Novel berkenaan hangat dibincang dan diviralkan di media sosial kerana  didakwa terpalit dengan unsur lucah dan menonjolkan hubungan negatif antara doktor dan jururawat.
Khairil berkata teks Pantai Kasih sarat dengan pelbagai isu kemanusiaan yang boleh dibincang, dihuraikan dan mengungkapkan pelbagai permasalahan serta menimbulkan kesan baik dan buruk.
Jelasnya, setiap karya yang dipilih sebagai teks komsas melalui proses penyaringan dan pemilihan yang ketat.
Bagi tujuan itu, Kementerian Pendidikan menubuhkan jawatankuasa dianggotai pelbagai kaum dan agama terdiri daripada pakar dalam bidang pendidikan, bahasa dan kesusasteraan, agama, psikologi dan kaunseling serta antropologi, katanya.
“Panel juga dianggotai oleh pertubuhan bukan kerajaan dan pensyarah media,” katanya.
Khairil berkata penggunaan novel Pantai Kasih sebagai novel komsas Tingkatan Empat sudah memasuki tahun kedua.
Selain Pantai Kasih, tiga lagi novel dipilih sebagai komsas pelajar Tingkatan Empat mengikut zon iaitu Jendela Menghadap Jalan bagi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak; novel Leftenan Adnan Wira Bangsa bagi Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negri Sembilan; serta novel Di Sebalik Dinara untuk Johor, Sarawak, Sabah dan Labuan. — Bernama

sumber : http://www.themalaymailonline.com/

0 Response to "Tidak lucah, ‘Pantai Kasih’ boleh diajar di sekolah"

Post a Comment